1MDB dan IPIC setuju dengan penyelesaian timbang tara

Bernama
April 24, 2017 12:00 MYT
1MDB juga mengesahkan bahawa usaha pengewangan pertama sebanyak kira-kira US$50 juta dalam tunai telah pun diterima. - Gambar fail
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) telah mencapai persetujuan bagi penyelesaian membabitkan prosiding timbang tara di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.
"Penyelesaian itu antara lainnya adalah 1MDB akan membuat pembayaran tertentu kepada IPIC dan akan bertanggungjawab terhadap semua pembayaran faedah akan datang dan pembayaran prinsipal bagi dua bon terbitan syarikat-syarikat Kumpulan 1MDB Group yang berakhir pada 2022," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Tanggungjawab ini akan dipenuhi oleh 1MDB, terutamanya menerusi usaha pengewangan unit dana pelaburan yang dimilikinya.
"1MDB juga ingin mengesahkan bahawa usaha pengewangan pertama sebanyak kira-kira US$50 juta dalam tunai, telah pun diterima.
"Penyelesaian timbang tara ini dan (usaha) pengewangan unit-unit dana pelaburan itu memaparkan resolusi satu cabaran besar dan menjadi bahagian penting dalam pelan rasionalisasi 1MDB yang kini di peringkat akhir untuk disempurnakan," katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata kerajaan berasa gembira kerana IPIC dan 1MDB dapat menyelesaikan pertikaian itu secara baik.
"Kita juga mendapati bahawa usaha pengewangan itu membabitkan semua unit-unit dana pelaburan dimiliki 1MDB.
"Perkembangan penting ini menunjukkan kemajuan positif berterusan dicatatkan oleh 1MDB yang kini hampir menyelesaikan program rasionalisasinya," katanya. --BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #International Petroleum Investment Company #IPIC #Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London #penyelesaian timbang tara #Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad