KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa akaun Ambank milik Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima wang haram berjumlah AS$681 juta atau RM2.08 bilion daripada Tanore Finance Corporation (Tanore).

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) ACP Foo Wei Min, 47, berkata beliau menggunakan kaedah siasatan "First In, First Out" (FIFO) bagi menentukan wang yang masuk ke dalam akaun Ambank yang berakhir dengan nombor 694 milik bekas perdana menteri itu adalah wang haram atau bersih.

Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata berdasarkan hasil siasatannya, akaun syarikat Tanore yang didaftarkan di Singapura telah dibuka di Falcon Private Bank pada 2 Nov 2012 dan orang yang diberi kuasa dan pemilik manfaatnya ialah Tan Kim Loong.

Tan merupakan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

"Menerusi kaedah siasatan ini, penerimaan wang haram Tanore sebanyak AS$681,000,000 iaitu RM2,081,476,926 ke dalam Akaun AmBank 694 dapat diasingkan dengan wang daripada sumber lain dan juga wang yang sedia ada dalam akaun ini.

"Saya telah mengambil kira kemasukan wang dari tarikh mula akaun dibuka. Kemudian saya telah tolak jumlah tersebut dengan penggunaan wang oleh Datuk Seri Najib berdasarkan transaksi pada penyata akaun Ambank 9694. Ia ditolak sehingga wang yang telah mula-mula masuk di dalam akaun tersebut habis digunakan," katanya.

Beliau merujuk kepada penyata akaun 694 milik Najib dan mengesahkan jumlah dana hasil daripada aktiviti haram 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) yang diterima daripada peringkat Tanore adalah sebanyak AS$681,000,000 (RM2,081,476,926.00) menerusi sembilan transaksi antara 22 Mac dan 10 April 2013.

Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Foo berkata beliau menentukan wang tersebut adalah haram atau bersih berdasarkan transaksi kemasukan wang daripada Tanore ke dalam akaun 694 manakala wang bersih pula adalah wang yang sememangnya wujud atau pun daripada sumber lain yang tidak berkaitan 1MDB.

"Sekiranya terdapat lagi transaksi kemasukkan wang bukan daripada Tanore selepas itu, maka pengeluaran seterusnya akan menolak wang yang diterima terbaru tersebut. Prinsip "Benefit of Doubt" telah diberikan kepada pemegang akaun bank dengan kaedah FIFO ini kerana setiap transaksi yang dikenal pasti wang haram adalah wang haram semata-mata.

"Oleh itu, berdasarkan FIFO yang saya sediakan, keseluruhan wang di dalam akaun sebelum wang daripada Tanore digunakan, telah habis digunakan pada tarikh 2 Ogos 2013. Penggunaan wang selepas daripada tarikh ini adalah dikira sebagai penggunaan wang hasil daripada dana yang diperoleh daripada Tanore iaitu bermula pada tarikh 2 Ogos 2013," kata saksi itu.

Beliau berkata berdasarkan penyata akaun 694 beberapa transaksi penggunaan wang yang telah diterima daripada Tanore iaitu lima cek berbeza antara 2 Ogos dan 14 Ogos 2013 berjumlah RM22,649,000.

"Hasil analisis FIFO ke atas akaun 694 mendapati sebanyak lima transaksi melibatkan penggunaan wang haram 1MDB GIL peringkat Tanore telah dikenal pasti menerima dana haram 1MDB GIL menerusi cek- cek yang diisu daripada akaun 694 dan kesemua cek-cek berkenaan adalah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib sendiri," katanya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-- BERNAMA