KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan saman terhadap Ketua Pegawai Pelaburan PetroSaudi International Ltd Patrick Mahoney bagi menuntutnya membayar semula wang berjumlah US$1.83 bilion kerana didakwa telah membantu beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, 1MDB selaku plaintif mendakwa Mahoney secara tidak jujur telah membantu Najib dan beberapa individu lain seperti Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah PSI, Tarek Obaid untuk menipu 1MDB.

Syarikat itu mendakwa Mahoney dengan sengaja terlibat dalam rancangan untuk berkomplot, berkonspirasi dan menipu dalam skim penipuan membabitkan sejumlah wang yang besar daripada 1MDB bersama-sama dengan Jho Low, Najib dan Tarek Obaid.

Ia juga memohon perisytiharan bahawa kedua-dua defendan bertanggungjawab bagi wang berjumlah US$33,000,000 dan membayar kepadanya jumlah itu atau jumlah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah, atas alasan penerimaan yang diketahui.

1MDB turut menuntut ganti rugi US$1.83 bilion, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- BERNAMA