KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pindaan membabitkan dua kesalahan pengubahan wang haram (AMLA) dan satu tuduhan predikat iaitu penyalahgunaan kuasa.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian semasa prosiding kes rasuah dan AMLA berjumlah dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Sequerah berkata, mahkamah mendapati hanya angka dan amaun yang hendak dipinda oleh pendakwaan, sementara naratif pendakwaan membabitkan tuduhan dalam kes itu tidak berubah.

Menurutnya, pendakwaan menghujahkan, tiada niat jahat dalam permohonan itu namun dibantah oleh pihak bekas Ahli Parlimen Pekan ini.

“Pihak pendakwaan berhak meminda pertuduhan sebelum kes ini berakhir.

“Pindaan dibuat berdasarkan keterangan saksi pendakwaan (SP) ke-47 dan SP48, kedua-dua saksi ini mempunyai pengetahuan khusus mengenai jejak wang, khususnya mengenai jumlah yang diterima dalam akaun bank tertuduh,” katanya.

SP47 ialah penganalisis petugas khas 1MDB pada 2018, Adam Ariff Mohd Roslan, 29 yang juga penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) sementara SP48, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pencegahan Pengubahan Wang Haram ACP, Foo Wei Min.

Sementara itu, mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima beberapa dokumen bank yang dikaitkan dengan keterangan Wei Min sebagai bukti dalam kes itu.

Susulan itu, beliau mengarahkan ketiga-tiga tuduhan yang dipinda dibacakan semula kepada Najib dan bekas pemimpin UMNO ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Pada 24 Oktober lalu, pendakwaan memohon pindaan bagi tuduhan keempat (kes salah guna kedudukan), ke-10 dan ke-21 (AMLA).

Bagi tuduhan keempat, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dituduh menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM44.9 juta dan pendakwaan mahu meminda jumlah berkenaan kepada RM44.6 juta.

Bagi tuduhan ke-10 serta ke-21 pula, Najib didakwa membabitkan diri dalam kes AMLA iaitu memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM652.6 juta dipinda kepada RM515.7 juta serta RM12.4 juta ke RM11.4 juta.

Susulan itu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk mengubah tiga pertuduhan itu, iaitu pindaan jumlah penyelewengan dana 1MDB daripada RM2,282,937,678.41 (RM2.28 bilion) kepada RM2,277,577,613.41 (RM2.27 bilion).

Sebelum ini, pihak pendakwaan menghujahkan, pindaan pengurangan RM5,360,065 itu tidak akan memprejudis atau merugikan tertuduh kerana Najib akan diberi setiap peluang untuk membela diri.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Dalam prosiding sama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Presiden UMNO memohon, perbicaraan yang sepatutnya berlangsung sehingga petang Isnin, dilapangkan kerana Najib dilaporkan masih tidak sihat akibat Covid-19.

“Pagi ini, anak guam maklumkan, masih tidak sihat dan mahu berehat sebelum prosiding akan datang.

“Selain itu, kami juga diberitahu dua peguam bagi kes ini, turut dijangkiti COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar tidak membantah permohonan itu.

Sequerah membenarkan permohonan berkenaan dan prosiding akan bersambung Selasa, dengan Perbicaraan di hadapan akan disambung semula pagi esok dengan pemeriksaan balas Wei Min oleh pasukan pembelaan. - Sinar Harian