IPOH: Dua aktivis sebuah parti politik ditahan kerana dipercayai mengganggu ketenteraman awam dan menghalang tugas penjawat awam di sebuah lot tanah persendirian, berdekatan Taman Chepor Impian, di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 8.35 pagi melaporkan terdapat sekumpulan lelaki menghalang dan mengganggu kerja pembersihan tanah di kawasan terbabit.

"Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Balai Polis Kuala Kuang dihantar ke lokasi tersebut.

"Didapati sekumpulan lelaki warga tempatan sedang menghalang kerja-kerja pembersihan tanah di situ, selain itu mereka gagal membuktikan hak pemilikan ke atas tanah berkenaan.

"Polis menasihatkan mereka supaya bersurai bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini di samping mereka juga melakukan kesalahan pencerobohan. Kebanyakan mereka kemudian bersurai.

"Bagaimanapun terdapat dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli sebuah parti politik enggan memberi kerjasama dan melakukan provokasi. Polis kemudian menahan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya polis terpaksa menjalankan tangkapan ke atas dua individu berkenaan mengikut Seksyen 186 dan 447 Kanun Keseksaan.

Katanya tindakan itu diambil selepas tiga kali amaran diberikan bagi mengelakkan mereka terus menghasut, mengganggu ketenteraman awan serta menceroboh kawasan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran tegas kepada pihak yang berkepentingan supaya tidak menghasut orang ramai melakukan tindakan yang menggugat ketenteraman awam.

"Ia termasuk menceroboh tanah milikan orang lain kerana ia merupakan tindakan tidak bertanggungjawab serta menyalahi undang-undang," katanya.