PASIR PUTEH: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera ketika bergelut dengan tekong bot nelayan Vietnam yang cuba menikam mereka menggunakan pisau di kedudukan kira-kira 46 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot itu ditahan menerusi rondaan Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai  di perairan Kelantan sekitar 5.40 petang Isnin.

Katanya, bot dinaiki 20 nelayan Vietnam itu menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Bot itu cuba meloloskan diri. Semasa anggota sedang mengambil alih kawalan bot, telah berlaku pergelutan apabila tekong mengacu pisau dan cuba menikam dua anggota. Mereka mengalami kecederaan di bahagian telapak tangan dan ibu jari.

"Pasukan kita berjaya menahan bot itu dengan menggunakan 'force boarding'.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua nelayan asing berusia lingkungan 20 hingga 48 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota terbabit mengalami kecederaan di bahagian telapak tangan dan ibu jari.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya turut merampas sejumlah peralatan menangkap ikan, ikan seberat 500 kilogram, dan 500 liter diesel yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

"APMM mengambil masa hampir tujuh jam untuk mengiringi kedua-dua bot ke Jeti Maritim Malaysia  Tok Bali pada jam 12.05 tengah malam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 yang jika sabit kesalahan, tekong dan kru masing-masing boleh didenda sehingga RM6 juta dan RM600,000.