JOHOR BAHRU: Dua kematian akibat denggi dilaporkan di Johor pada Minggu Epid 10/2024 menjadikan jumlah kematian sebanyak tujuh kes dan 1,420 kes denggi dikesan menjadikan kumulatif 3,764 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon daripada jumlah kes yang dilaporkan, 1,795 (47.7 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 1,969 (52.3 peratus) dari lokaliti bukan wabak, sementara 373 kes demam denggi dilaporkan berbanding 426 kes minggu sebelumnya.

"Daerah Johor Bahru merupakan daerah tertinggi sebanyak 307 kes atau 82.3 peratus diikuti Kulai 35 kes (9.4 peratus), Kota Tinggi sembilan kes (2.4 peratus), Segamat lapan kes (2.1 peratus), Batu Pahat enam kes (1.6 peratus) dan Muar lima kes (1.3 peratus).

"Sementara itu Kluang, Tangkak dan Pontian masing-masing satu kes manakala tiada kes dilaporkan di Mersing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daerah yang melaporkan peningkatan kes ialah Kulai, Segamat dan Kota Tinggi.

Ling berkata terdapat 50 lokaliti wabak baharu dilaporkan pada minggu berkenaan iaitu Johor Bahru sebanyak 48 kawasan dan Kulai dua kawasan menjadikan jumlah lokaliti wabak sebanyak 567 berbanding 172 pada minggu yang sama tahun lepas.

Beliau berkata bagi aktiviti penguatkuasaan, pihaknya telah mengeluarkan 1,117 kompaun bernilai RM197,770 dan daripada jumlah itu 62.8 peratus telah dibayar.

"Aktiviti sebaran maklumat pencegahan denggi telah dipergiatkan melalui infografik di platform media sosial dan hebahan radio secara harian.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah memuat naik infografik Situasi Denggi Negeri Johor dan Peta Lokaliti Wabak Denggi Mengikut Mukim Negeri Johor secara harian," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius bilangan kes denggi yang tinggi dan akan terus mengambil tindakan proaktif bagi menurunkan bilangan kes.

Tambahnya pelbagai usaha digerakkan seperti aktiviti pembersihan rumah, pengaktifan skuad Komunikasi Perubahan Perilaku (COMBI) dan sebagainya agar ancaman denggi dapat dikurangkan.

-- BERNAMA