2 lelaki cedera digigit anjing peliharaan

Eleanor Michelle Patrick
Mei 2, 2022 14:46 MYT
Pihak bomba telah bertindak untuk menenangkan anjing berkenaan sebelum menangkapnya. - Gambar/ JBPM
PENAMPANG: Dua lelaki mengalami kecederaan dengan seorang daripada mereka parah selepas dipercayai digigit anjing peliharaan di Taman Putera Pogun di sini, pada Isnin.
Kejadian yang berlaku di sebuah taman perumahan itu membabitkan mangsa berusia 20 tahun yang parah di bahagian tangan manakala seorang lagi berusia 25 tahun cedera ringan di bahagian paha.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya telah menerima panggilan membabitkan kejadian itu pada jam 3.49 petang.
"Sepasukan lapan bomba bersama sebuah jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang telah bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua lelaki telah digigit anjing peliharaan dan seorang mangsa parah di bahagian tangan manakala seorang lagi cedera ringan di paha.
"Kedua mereka kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS seterusnya dihantar ke klinik oleh ibunya untuk mendapat rawatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan media, pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, pihak bomba telah bertindak untuk menenangkan anjing berkenaan sebelum menangkapnya.
Setelah itu, anjing itu diserahkan semula kepada pemiliknya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.42 petang.
#serangan anjing #anjing peliharaan #Sabah #Taman Putera Pogun