MALAYSIA
2 lelaki maut ditembak depan pusat beli-belah, polis siasat motif, identiti penyerang
Dua lelaki tempatan maut selepas terkena tembakan dalam satu kejadian serangan bersenjata di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Cheras, malam tadi. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis menyiasat motif sekumpulan penyerang menembak mati dua lelaki tempatan di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi.
Ringkasan AI
- Polis sedang menyiasat motif dan mengenal pasti identiti suspek bertopeng yang menembak mati dua lelaki di hadapan kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, dalam kejadian tengah malam tadi.
- Kejadian dipercayai berlaku secara terancang, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mangsa berusia lingkungan 40-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
- Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Hotline Polis Cheras atau Kuala Lumpur, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti identiti semua suspek yang memakai topeng dalam kejadian jam 12.48 tengah malam berkenaan.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku dalam keadaan terancang. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kami menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051, atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, ataupun mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai ditembak oleh sekumpulan lelaki bertopeng ski mask hitam yang menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.