2 lokap tahanan PATI di Johor Bahru dikenakan PKPD bermula esok

Hasimi Muhamad
Mac 27, 2021 10:54 MYT
Ismail berkata, KKM melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di dua lokasi berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua lokap tahanan pendatang tanpa Izin (PATI) di Johor Bahru dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 10 April depan.
Ia masing-masing melibatkan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika dan Lokap Tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bangunan Sultan Iskandar.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di dua lokasi berkenaan.
Sehubungan itu katanya, keputusan pelaksanaan PKPD diputuskan selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dibuat dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan di atas nasihat KKM.
"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan ujian saringan ke atas 82 PATI di Kompleks KDN Setia Tropika dan daripada jumlah itu 39 orang didapati positif COVID-19.
"Sehingga 25 Mac 2021, sebanyak 51 kes positif telah dilaporkan di Lokap Tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hasil saringan ke atas tahanan yang bergejala," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah esok, seperti yang dijadualkan.
Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,396 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 91 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
"KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 23 Mac lalu," jelas beliau.
#KDN #Kementerian Kesihatan #ujian saringan #PKPD #COVID-19 #Kementerian Dalam Negeri #PKP #Johor Bahru #kerajaan #Keningau #pati #KDN Setia Tropika #Lokap Tahanan PATI #Bangunan Sultan Iskandar