2 maut, 4 cedera kereta langgar pokok

Astro Awani
Ogos 17, 2017 01:49 MYT
Dua maut selepas kenderaan dinaiki mereka bersama empat lain terbabas dan melanggar pokok di Jalan Penaga, dekat sini, awal pagi ini. -Foto JBPM
Dua maut selepas kenderaan dinaiki mereka bersama empat lain terbabas dan melanggar pokok di Jalan Penaga, dekat sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa Mohammad Fakhrullah Abd Rahim, 19, dan Nor Farisha Manarni Omar, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata lapan anggota bersama satu jentera tiba di lokasi pada jam 3.44 pagi bagi membantu mengeluarkan mangsa.
Menurutnya, sebaik tiba, bomba mendapati terdapat enam mangsa di dalam kereta jenis Proton Iswara yang remuk akibat terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.
Bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan semua mangsa dan dua daripada mereka disahkan maut oleh pegawai perubatan.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
#Hospital Kepala Batas #Jalan Penaga #kereta langgar pokok #Mohammad Fakhrullah #Nor Farisha