KUANTAN: Dua maut manakala enam cedera ringan dalam kemalangan melibatkan empat kereta di KM 59 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian kira-kira 2 petang itu menyebabkan seorang penumpang kereta Perodua Aruz, Nur Alya Fakhira Ariffen, 18, dan pemandu kereta Honda City, Mohd Said Husen meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Toyota Hilux dari Kuantan menghala ke Segamat terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan Perodua Aruz tersebut.

"Susulan itu, Perodua Aruz itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Nissan Almera dan Honda City yang mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu rosak teruk di bahagian depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu Perodua Aruz dan Nissan Almera serta empat penumpang dua kenderaan itu hanya cedera ringan manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA