2 maut kereta terjunam dalam Tasik Biru

Astro Awani
Januari 31, 2021 16:31 MYT
Kedua-dua mayat ditemui pada kira-kira jam 8 malam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Gambar/ Bernama
RAWANG: Dua individu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita yang identiti mereka belum dikenal pasti maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam Tasik Biru di Jalan Kampung Setia, Batu Arang di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat awam jam 6.10 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dihantar ke lokasi kejadian.
"Laporan awal yang diterima membabitkan kemalangan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik.
“Kedua-dua mayat itu ditemui pada kira-kira jam 8 malam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” menurutnya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Katanya tiada dokumen memaparkan maklumat peribadi ditemui pada kedua-dua mayat berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
#lemas #kereta terjunam #Tasik Biru #tasik #pasangan #lelaki #wanita #bomba #Rawang