ARAU:Dua pos kawalan baharu akan dibina di kawasan sempadan Kedah-Thailand sebagai salah satu langkah memperkasakan kawalan sempadan negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beberapa kelengkapan operasi termasuk dron juga akan dibekalkan terutama melibatkan kawasan tanggungjawab Markas 2 Divisyen iaitu sepanjang jajaran sempadan Bukit Kayu Hitam sehingga ke kawasan Padang Terap, Kedah.

Tambah beliau, perbicangan secara menyeluruh membabitkan Panglima Angkatan Tentera bersama semua agensi terlibat dalam kawalan keselamatan di kawasan sempadan juga telah dilaksanakan.

"Panglima Angkatan Tentera sudah pun berjumpa dengan semua agensi yang mengawal kawasan sempadan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kastam Diraja Malaysia...

"Kita sudah duduk bersama dan bincang mengenai penyelesaian secara menyeluruh, kita bukan jumpa secara 'piecemeal' (satu demi satu).

"Sebagai contoh, untuk memperkasakan kawalan kita di sempadan utara ni kita akan bina dua pos kawasan sempadan (di kawasan jajaran Bukit Kayu Hitam hingga Padang Terap) dan juga equipment kita tambah lagi beberapa equipment, tambah dron dan sebagainya," katanya.

Ismail berkata demikian selepas menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Istana Arau pada Sabtu.

Pada Rabu, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad menjelaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus mempertingkatkan kawalan di sepanjang 24 kilometer sempadan Malaysia-Thailand di Kedah terutama di lorong-lorong tikus yang menjadi laluan kegiatan penyeludupan.

Pihaknya juga mengenal pasti semua kawasan panas di bawah Op Pagar II iaitu dari Bukit Kayu Hitam hingga daerah Padang Terap selain akan bertindak secara agresif dalam memastikan tidak ada satu pun kawasan dalam Op berkenaan dibolosi penyeludup rentas sempadan.

Sementara itu, Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji menyatakan bahawa pihak polis juga akan mempertingkatkan kawalan di sepanjang sempadan negara dari Bukit Batu Putih, Kuala Perlis hingga Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan kejadian tembakan yang sebelum ini telah mengorbankan seorang anggota PGA.

Beliau menegaskan kawalan dan rondaan dilakukan secara bersepadu oleh 314 anggota Batalion 3 PGA dengan tambahan lebih 200 anggota daripada Unit Udara, Unit Kenderaan Perisai, Unit Ber­kuda dan Unit 69 Komando (VAT69).

24 November lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang merupakan anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, terkorban akibat ditembak kumpulan penyeludup.

Rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, pula mengalami kecederaan parah selepas terkena tiga tembakan.