KUALA LUMPUR: Astro Audio mengucapkan tahniah kepada dua kakitangannya, Ketua Strategi, Rizal Sahimy dan Ketua Integrasi dan Operasi, Chew Yan Ling atas pelantikan sebagai Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat Commercial Radio Malaysia (CRM) bagi penggal 2026-2028.
Pelantikan tersebut diumumkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-29 CRM, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan industri terhadap kepakaran, pengalaman dan komitmen Astro Audio dalam memajukan ekosistem radio komersial negara.
Sebagai Setiausaha Kehormat, Rizal akan bertanggungjawab mengawasi tadbir urus persatuan, pentadbiran serta pelaksanaan inisiatif strategik CRM.
Beliau menekankan kepentingan peranan radio sebagai medium yang dipercayai dalam menyampaikan maklumat berkuali kepada rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Objektif utama kami adalah memastikan radio Malaysia terus memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan inisiatif kerajaan di samping menghasilkan kandungan yang berkualiti.
"Radio kekal sebagai jambatan penting yang memperkasakan perniagaan, menghubungkan pengguna dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata Rizal.
Sementara itu, Yan Ling yang dilantik sebagai Bendahari Kehormat akan menerajui aspek pengurusan kewangan dan tadbir urus CRM bagi memastikan persatuan terus berkembang secara mampan.
"Setiap angka mempunyai cerita tersendiri. Sebagai Bendahari CRM yang baharu, saya komited memastikan setiap ringgit dimanfaatkan sebaiknya demi pertumbuhan industri. Walaupun peranan ini baharu, matlamat saya tetap sama iaitu menyokong CRM melalui pengurusan yang bertanggungjawab serta semangat kerjasama yang kukuh,” ujar Yan Ling.
Astro Audio berkata pelantikan kedua-dua pemimpin tersebut membuktikan komitmen Astro Audio dalam menyumbang kepada pembangunan industri radio negara yang lebih progresif, mampan dan relevan dalam era digital.
“Kami amat berbangga melihat Rizal Sahimy dan Chew Yan Ling diberi kepercayaan untuk memegang jawatan kepimpinan penting dalam CRM. Pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf keupayaan mereka sebagai pemimpin industri, malah mencerminkan peranan aktif Astro Audio dalam memacu masa depan penyiaran radio Malaysia."
CRM merupakan persatuan utama operator radio komersial Malaysia yang berfungsi menyelaras pematuhan peraturan industri, meningkatkan penglibatan pendengar, memacu program pembangunan bakat serta menyediakan sumber penyelidikan dan penarafan industri.
Sejak penubuhannya pada tahun 1994, CRM memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan landskap penyiaran radio negara.