20 individu ditahan ingkar arahan PKPP

Fauzi Suhaimi
Jun 21, 2020 08:00 MYT
Sebanyak 14 warga asing ditahan PDRM menerusi Operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng atas kesalahan imigresen. - Gambar BERNAMA
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 20 individu atas kesalahan melanggar dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.
Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tersebut 10 individu direman manakala 10 lagi individu dikenakan kompaun.
"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti karaoke dan pusat hiburan keluarga, aktiviti dalam pub atau kelab malam, mencuba pakaian di kedai pakaian dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 14 warga asing ditahan PDRM menerusi Operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.
Tegas beliau, PDRM juga telah membuat 60 SJR Operasi Benteng di seluruh negara dan
memeriksa 38,474 buah kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.
"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.
"Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegas beliau lagi.
#coronavirus #COVID-19 #haram #hiburan #Imigresen #ismail sabri yaakob #keluarga #kerajaan #keselamatan #Malaysia #menteri #operasi #pati #PDRM #penjarakan sosial #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #polis #warga asing