20 kementerian capai sasaran KPI Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2015

Dania Zainuddin
April 21, 2016 13:11 MYT
NAJIB: Penetapan KPI ini adalah bagi memastikan Agenda PEB sebagai agenda nasional dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. -Gambar fail
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa 20 kementerian berjaya mencapai 100 peratus sasaran Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, ia merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan dan penetapan KPI ini adalah bagi memastikan Agenda PEB sebagai agenda nasional dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.
Katanya, 98 KPI Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) telah ditetapkan bagi 25 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan kesemuanya mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus.
"Pelaksanaan Agenda PEB merentasi kementerian adalah selari dengan usaha kerajaan dalam membangunkan negara secara inklusif," katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB), di sini, pada Khamis.
Susulan itu, Najib menetapkan 93 KPI bagi 25 kementerian termasuk JPM yang telah dipersetujui oleh Majlis Ekonomi Bumiputera bagi 2016.
"Penetapan KPI ini selari dengan strategi dan sasaran Rancangan Malaysia Ke-sebelas yang memfokus kepada pengukuhan peluang komuniti ekonomi Bumiputera bagi meningkatkan pemilikan kekayaan.
"Penetapan ini juga dilihat mempunyai impak tinggi, lebih bersifat outcome-based dengan sasaran yang lebih tinggi berbanding tahun 2015," katanya.
Najib berkata, impak pelaksanaan bagi kesemua KPI PEB ini dapat melonjakkan ekonomi Bumiputera dan seterusnya membantu merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
#KPI #Najib Tun Razak #PEB #Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera #Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama