KUALA LUMPUR: Seramai 20 lelaki yang berpakaian dan berlagak seperti wanita ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menerusi serbuan Op Bersepadu di sebuah pusat hiburan di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata bagaimanapun, kesemua mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 34 tahun itu dilepaskan dengan bon jaminan setelah siasatan selesai.

Beliau berkata 20 lelaki yang ditahan itu merupakan warga tempatan dan disiasat mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

"Selain itu, operasi yang dijalankan bersama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun kerana positif dadah jenis tetrahydrocannabinol.

"Dua lelaki berkenaan direman hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Dellhan berkata dalam operasi yang dijalankan pada 10 malam itu, seramai 62 pengunjung premis berkenaan diperiksa iaitu melibatkan 53 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun.

"Polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang tidak mematuhi undang-undang," katanya.

-- BERNAMA