BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan 20 kompaun terhadap pemilik premis, kerana menggajikan warga asing ketika operasi penguatkuasaan di sekitar Bukit Mertajam, semalam.

MBSP dalam kenyataan memaklumkan bahawa tindakan tegas itu, diambil selepas mereka gagal mematuhi peraturan dan syarat pelesenan ditetapkan MBSP, yang tidak membenarkan warga asing untuk mengendalikan premis.

"Dalam operasi sama, 10 premis turut dikompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, enam kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen manakala sebuah premis dikompaun atas kesalahan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik," menurut kenyataan itu.

MBSP turut mengingatkan para peniaga di seluruh Seberang Perai supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

"Tindakan penguatkuasaan secara berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi melindungi pengguna," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA