HULU LANGAT: Kementerian Belia Sukan (KBS) menyasarkan seramai 200 pelajar sepenuh masa akan dilatih di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dalam kursus Electric Vehicle (EV) menjelang 2025.

Menurut menterinya Hannah Yeoh, perancangan tersebut melibatkan pelajar di KKTBN Dusun Tua, IKTBN Chembong, dan IKBN Jitra.

"Buat permulaan dan sebagai pengenalan, seramai 30 orang pelajar akan mengikuti kursus sepenuh masa Penyelenggaraan EV di IKTBN Dusun Tua.

"Manakala lima orang pengajar telah terlibat dalam proses pengajaran EV, dan dua orang pengajar telah mengikuti latihan New Emerging Technology yang ditauliah oleh Pusat Latihan Pengajaran Kemahiran Lanjutan (CIAST), Kementerian Sumber Manusia," kata Hannah.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian TVET ILKBS Sebagai Pelaksana Rintis Kursus Kenderaan Elektrik (EV) dan Hibrid di IKTBN Dusun Tua, di sini, hari ini.

Kata Hannah lagi, acara hari ini menandakan satu peristiwa penting apabila ILKBS muncul sebagai perintis dalam pendidikan dan latihan kemahiran EV.

Sebagai bukti dedikasi terhadap usaha ini, IKTBN Dusun Tua mengumumkan kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Automotive Robotics, IoT Institute (MARii), dan Sunway Services untuk memberi pendedahan awal mengenai teknologi EV kepada pelajar dalam bidang teknologi automotif pada Khamis.

Menerusi MoU ini, kerjasama lebih kukuh dapat dilaksanakan meliputi penambahbaikan kurikulum sangkutan industri kepada tenaga pengajar, latihan industri dan peluang pekerjaan kepada lepasan Kursus Kenderaan Elektrik (EV) dan Hibrid, serta perkongsian kepakaran dan teknologi.

Langkah ini sejajar hasrat kerajaan yang ingin menarik pelaburan mencecah ke paras RM40 bilion dan sekali gus menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi menjelang tahun 2030, tambah Hannah.

Dalam pada itu, seramai 500 belia dan pekerja turut akan dilatih dalam kursus reskilling dalam bidang EV melalui program Skills for Life yang dilaksanakan di ketiga-tiga institut latihan tersebut.