MALAYSIA
200 peserta pelbagai agensi kerajaan, swasta 'kacar' bubur asyura

Mohamad Zabawi (dua dari kanan) bersama Datuk Johari Wahab (kiri) mengacau bubur asyura di MAEPS Serdang. - Gambar ihsan Mardi
KUALA LUMPUR: Seramai 200 peserta dari berbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai acara Program Mari Pakat Kacar Bubur Asyura yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bersama Kelab Kaki Takir (KKT) di MAEPS Serdang, dekat sini.
Menurut Ketua Pengarah Mardi, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani, acara tersebut diadakan untuk mengeratkan hubungan ukhwah dan silaturrahim antara agensi kerajaan bersama badan bukan kerajaan (NGO), selain mengimarahkan sambutan Awal Muharram.
Jelasnya, walaupun Mardi adalah sebuah agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang pertanian, namun, ia tidak pernah menghalang institut itu untuk terlibat secara aktif dalam program komuniti dan kemasyarakatan.
“Program seumpama ini mencerminkan keprihatinan dan kesediaan Mardi untuk terus menyokong aktiviti-aktiviti komuniti dan kemasyarakatan dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti-aktiviti pertanian semata-mata."Untuk itu, kami akan sentiasa melibatkan diri secara aktif dalam penganjuran program seumpama ini dan amat mengalu-alukan badan-badan kerajaan dan NGO yang berhasrat untuk mengadakan kerjasama menganjurkan apa sahaja program kemasyarakan bersama kami," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Penaung Kelab Kaki Takir, Datuk Johari Wahab berkata, tahun ini merupakan tahun keempat Program Mari Pakat Kacar Bubur Asyura diadakan bagi menyambung tradisi sambutan Awal Muharam.
Tambahnya, pihak kelab juga telah berjaya mengumpul sumbangan RM15,000 bagi membiayai kos memasak lapan kawah bubur asyura, selain membiayai kos-kos lain seperti menyembelih seekor lembu.
Selain Mardi, program tersebut turut disertai tujuh agensi kerajaan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami