KUANTAN: Polis menahan 21 individu termasuk 10 wanita dan tiga warga Indonesia kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam serbuan menerusi Op Dadu di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mereka yang ditahan berusia 17 hingga 51 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan remaja terlibat tidak bersekolah, manakala tiga warga Indonesia tidak mempunyai dokumen sah.

"Polis turut merampas wang tunai RM5,319, telefon bimbit, modem dan router serta kertas mengandungi angka dan huruf dipercayai digunakan dalam kegiatan itu daripada suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata operasi selama dua jam bermula 6 petang semalam itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 16 Jan ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

-- BERNAMA