KUALA LUMPUR: Seramai 21 orang klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daripada 28 klien yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 berjaya lulus dalam mata pelajaran yang diambil.

Daripada jumlah itu, seramai 13 calon adalah dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah manakala lapan calon lagi adalah dari PUSPEN Seri Iskandar, Perak.

Menurut AADK, kesemua calon berkenaan sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di dua PUSPEN berkenaan.

“Walau bagaimanapun, melihat peluang pendidikan kepada klien, AADK menyediakan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khusus kepada mereka di bawah umur 18 tahun.

“Menerusi program PAPK, mereka akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru yang dilantik menerusi Skim Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang mempunyai ijazah sarjana muda dan pengalaman dalam bidang Pendidikan serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” kata AADK dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, program PAPK mula diperkenalkan pada tahun 2015 bagi membantu pelajar yang keciciran pelajaran ketika menjalani program RPDI di PUSPEN.

“Usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada klien bagi memajukan diri dalam aspek akademik dan kesemua calon didaftarkan sebagai calon persendirian dengan kadar bayaran yuran mengikut subjek teras yang diambil.

“Sebanyak enam mata pelajaran yang diambil mereka iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Sains; Matematik; Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, AADK berkata, kesemua klien yang lulus SPM 2022 berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara Malaysia dan politeknik.