MELAKA: Polis menahan 21 lelaki warga China kerana disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud yang beroperasi di sebuah banglo dua tingkat di Ayer Keroh di sini, Isnin lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Halim Abas berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 54 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 8 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Beliau berkata sindiket yang menyasarkan rakyat China itu dipercayai aktif menawarkan skim pelaburan saham tidak wujud menerusi laman sesawang sejak awal bulan ini.
"Sindiket berkenaan berjaya ditumpaskan hasil risikan polis dan menerusi siasatan awal yang dilakukan, banglo berkenaan dijadikan pusat panggilan sindiket terbabit yang dipercayai aktif kira-kira dua minggu lepas.
"Kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mencari mangsa menyertai skim pelaburan itu dan modus operandi sindiket terbabit ialah memperdaya mangsa dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat," katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berminat dengan skim pelaburan berkenaan akan diarah melayari sebuah laman sesawang untuk mendapatkan maklumat pelaburan yang ditawarkan.
Katanya, komunikasi dengan mangsa kemudian diambil alih oleh individu lain dalam rangkaian sindiket yang sama bagi meneruskan proses memperdaya mangsa sehingga mereka membuat transaksi kewangan.
Halim berkata pemeriksaan ke atas suspek mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan atau perjalanan sah termasuk pasport dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan bernilai RM25,000, antaranya lapan set komputer, komputer riba (tiga), modem (dua), penghala jenama Skyworth, telefon bimbit (14) dan penyesuai USB (satu) yang dipercayai digunakan dalam sindiket penipuan itu
"Kita tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit mempunyai rangkaian dengan sindiket penipuan pelaburan yang berjaya ditumpaskan sebelum ini di Melaka, namun siasatan lanjut masih dilakukan," katanya.
Halim berkata kesemua suspek direman 14 hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA