BUKIT MERTAJAM: Seramai 21 orang daripada enam keluarga yang menjadi mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Bukit Teh, Machang Bubok di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata mereka yang dipindahkan itu terdiri daripada 11 lelaki dan 10 wanita termasuk enam kanak-kanak dipindahkan ke PPS berkenaan bermula pukul 12.30 tengah malam tadi.

"Setakat pukul 3 pagi, hanya 21 orang termasuk dua lelaki kurang upaya dipindahkan ke PPS di Dewan Kampung Bukit Teh itu berikutan banjir di kawasan rumah mereka belum surut dan berbahaya untuk penduduk terlibat tinggal di kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata hujan lebat yang berlaku lebih dua jam iaitu bermula pukul 4 petang semalam telah menyebabkan banjir kilat di beberapa lokasi di Machang Bubok antaranya Kampung Bukit Teh, Taman Bidara dan Kampung Tasek Junjong, Kampung Maggis dan Kampung Berangan 9.

Katanya, keadaan banjir di kampung yang terlibat telah dinaiki air setinggi 0.5 meter (m) hingga 1 m dan berdasarkan pemantauan, polis mendapati banjir semakin surut serta keadaan terkawal.

BACA: Penduduk Machang Bubok berbuka puasa dalam banjir kilat

Shafee berkata selain banjir, polis turut menerima laporan berhubung kejadian ribut di Kubang Semang sehingga menyebabkan pokok tumbang di Kampung Pelet, Kampung Petani, Jalan Guar Perahu, Taman Selamat dan Kampung Bukit Indera Muda yang menyebabkan beberapa rumah rosak.

"Berikutan kejadian banjir dan pokok tumbang itu, saya telah meminta balai polis, pasukan kenderaan peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan trafik digerakkan untuk memantau keadaan banjir, membuat kawalan lalu lintas serta memberi bantuan yang diperlukan di lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok Lee Khai Loon berkata pihaknya menyediakan makanan nasi goreng, mi goreng dan burger kepada mangsa banjir yang terlibat bagi memastikan mereka mempunyai makanan terutama untuk bersahur.

"Musibah banjir merupakan ujian kepada kita semua dan saya berharap pihak kerajaan perlu memberikan perhatian serius serta mengambil langkah pencegahan yang berkesan. Sebelum ini, kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukkan RM10 juta untuk membuat kajian tebatan banjir di kawasan Machang Bubok dan Kulim Bandar Baharu, Kedah.

"Saya berharap kerajaan Persekutuan sekarang akan meneruskan projek ini agar masalah banjir di kawasan Machang Bubok dapat ditangani dengan baik, saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak membantu mangsa banjir," katanya.

-- BERNAMA