BALIK PULAU: Polis menyita 21 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar Bayan Lepas dan Bayan Baru bermula 11.30 malam hingga 4 pagi tadi.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan tindakan sitaan dilakukan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam operasi itu, polis mengeluarkan 54 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada cermin sisi dan ubah suai kenderaan keterlaluan," menurut kenyataan itu.

Selain membendung samseng jalanan yang melibatkan geng mat rempit, operasi juga bertujuan memastikan penunggang sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan motosikal mereka mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

"Operasi turut tertumpu di lokasi menjadi tumpuan mat rempit melakukan aksi berbahaya dan berlumba haram serta mengesan pemandu mabuk, mencegah kejadian kes kecurian kenderaan, ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 37 motosikal dan sebuah kereta persendirian yang dipandu warga asing tanpa geran milikan dalam Ops Motosikal dan Pemandu Warga Asing (PeWA), semalam.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan operasi bermula 7 hingga 10 pagi itu dijalankan di Juru dan Bukit Mertajam, dekat sini.

"Sebanyak 399 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan manakala antara kesalahan dikesan membabitkan pemandu warga asing itu ialah tiada lesen memandu, kenderaan tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans serta salah guna lesen kenderaan motor.

"JPJ Pulau Pinang memandang serius hal ini kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat, selain faktor keselamatan pengguna jalan raya lain," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA