Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

212 jeti di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok bakal dirobohkan

Bernama 18/08/2025 | 13:45 MYT
Nik Ros Azhan berkata bagi fasa pertama, perobohan melibatkan binaan di kawasan tanah milik kerajaan dan dilakukan mengikut setiap jajahan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Sebanyak 212 jeti di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand telah dikenal pasti untuk dirobohkan dalam operasi bersepadu pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama agensi keselamatan.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta memastikan kawalan sempadan lebih terjamin.

Beliau berkata empat jajahan yang terlibat ialah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli yang akan menubuhkan pasukan khas diketuai Pejabat Daerah dan dianggotai pelbagai pihak termasuk PTG, PBT, PGA, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Struktur haram yang dikenal pasti di tanah kerajaan dan juga tanah milik persendirian akan dirobohkan secara berperingkat.

"Sebelum tindakan perobohan dibuat, semakan kedudukan tanah akan dilaksanakan terlebih dahulu manakala notis akan dikeluarkan oleh pejabat tanah di jajahan terlibat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di PTG Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata bagi fasa pertama, perobohan melibatkan binaan di kawasan tanah milik kerajaan dan dilakukan mengikut setiap jajahan berkenaan.

Katanya, operasi tersebut membabitkan 128 jeti di dalam kawasan Op Taring Wawasan Kelantan di bawah PGA dan 84 kawasan di bawah kawalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Op Merpati.

"PGA akan memberikan bantuan penuh kepada PTG khususnya dari aspek keselamatan bagi memastikan usaha perobohan berjalan lancar, malah sasaran jawatankuasa adalah menyelesaikan kerja-kerja ini sebelum musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada bantahan diterima daripada penduduk setempat berkaitan tindakan yang bakal dilaksanakan itu.

"Dalam soal ini kebanyakan pihak tidak mengaku jeti berkenaan milik mereka berikutan ia dikategorikan sebagai struktur haram yang boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA



#Pasukan Gerakan Am #Majlis Keselamatan Negara #struktur haram #penduduk setempat