22,000 keluarga terjejas akibat banjir kilat di India
Astro Awani
Oktober 8, 2023 08:40 MYT
Oktober 8, 2023 08:40 MYT
MANGAN: Lebih 22,000 keluarga terjejas akibat banjir kilat yang melanda negeri Sikkim di timur laut India.
Ketua Menterinya, Prem Singh Tamang menganggarkan lebih 3,800 keluarga pula terpaksa mendapatkan bantuan di kem perlindungan sementara.
Banjir berkenaan mengorbankan ratusan nyawa setakat ini selepas tebing tasik glasier pecah lalu mencetuskan banjir kilat pada awal minggu ini.
Tasik Lhonak yang terletak di pergunungan Sikkim melimpah pada Rabu lepas dengan hujan lebat tanpa henti serta runtuhan salji memburukkan keadaan yang mengakibatkan banjir besar di Sungai Teesta.
Banjir yang melanda juga menyebabkan sebahagian negeri mengalami kekurangan bahan api, dengan bekalan tidak dapat sampai ke kawasan yang dilanda bencana selepas air deras menghanyutkan jalan dan jambatan utama.
Sikkim merupakan sebuah negeri yang terletak di antara Nepal, Bhutan dan China, dengan penghuninya tidak melebihi 650,000 orang.
Saintis menggelarkan tragedi banjir ini sebagai satu satu bencana terburuk di rantau ini dalam tempoh lebih 50 tahun disebabkan cuaca ekstrem akibat perubahan iklim yang mendatangkan kerosakan meluas di wilayah Himalaya Asia Selatan.