22 individu didakwa salah guna media sosial dan blog sejak 2010

Rahimah Abdullah
April 20, 2016 03:24 MYT
JAILANI: Facebook tidak akan disekat kerana rata-rata pengguna di malaysia menggunakannya dengan berhemah.
Sejumlah 22 pemilik media sosial dan blog didakwa di mahkamah kerana menyalahgunakan platform berkenaan sejak tahun 2010 hingga Mac lalu, ujar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.
Sementara itu, 32 individu lagi masih disiasat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) melibatkan kesalahan salah guna internet.
"Kesalahan tertakluk di bawah Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, dan Kanun Keseksaan (Akta 574), selain Akta SKMM," katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Boon Som Inong di semasa persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Ujarnya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi membanteras penyalahgunaan media sosial melalui kerjasama antara SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Peguam Negara.
Dalam pada itu, kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat penggunaan Facebook di Malaysia.
"Ia kerana pengguna secara umumnya di Malaysia menggunakan laman sosial itu secara berhemah," jelasnya.
Setakat ini, Malaysia merekodkan sebanyak 20.62 juta pemilik akaun Facebook sehingga Januari lalu.
#Akta Fitnah 1957 #Akta Hasutan 1948 #Kanun Keseksaan #pemilik blog #SKMM< pemilik media sosial