KUALA LUMPUR : Kira-kira 22 peratus daripada masyarakat Islam di Malaysia menolak sepenuhnya penerimaan vaksin COVID-19, kata Pengarah Besar, Pusat Fatwa dan Halal Antarabangsa (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Irwan Mohd Subri.

Beliau berkata, dapatan itu diperolehi menerusi kaji selidik yang dilakukan ke atas 1,745 responden Islam di seluruh negara.

"Kita mendapati kira-kira 300 hingga 400 responden menolak penerimaan vaksin.

"Angka ini sebenarnya tidak kecil dan sekiranya kita biarkan tanpa sebarang penerangan daripada kerajaan atau agensi berkaitan, jumlah itu mungkin akan bertambah," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Rabu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Sejarah tercipta, PM individu pertama terima suntikan Pfizer-BioNTech

Irwan menjelaskan hukum hakam fekah telah diputuskan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam berkenaan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil.

Perkara itu katanya, turut disokong oleh jawatankuasa fatwa negeri.

"Sekiranya terdapat kegusaran, kebimbangan atau ketakutan terhadap kesan sampingan, usah takut.

"Kita mempunyai kepakaran kesihatan yang  insya-Allah pihak kerajaan tidak akan lepas tangan sekiranya berlaku apa-apa," tambahnya.