PUTRAJAYA: Sebanyak 222 projek perumahan'sakit' swasta berjaya dipulihkan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau bertukar ke status lancar, sehingga 31 Julai lalu.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan projek terbabit adalah sebanyak RM20.61 bilion.

Akmal Nasrullah yang juga pengerusi Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) menjelaskan, sebanyak 44 projek (3,496 unit) berjaya dipulihkan untuk tempoh 1 hingga 31 Julai 2023 dengan nilai GDV RM3.14 bilion.

"TFST meletakkan dua kategori besar iaitu masalah dalaman dan masalah luaran yang menyebabkan berlaku projek terbengkalai atau sakit.

"Dari sudut masalah dalaman ini, antara puncanya adalah soal keupayaan pengurusan projek dan kewangan pemaju.

"Kedua pengurusan di tapak bina melibatkan kontraktor utama dan ketiga pertikaian antara kontraktor projek dan tuan tanah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat TFST pada Jumaat.

Akmal menjelaskan, dari segi masalah luaran pula, TFST mengesan dua isu utama iaitu keperluan dan syarat penyiapan projek daripada agensi teknikal serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu adalah soal pengurusan dan pemantauan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) oleh institusi kewangan dan perbankan.

Jelas beliau, penyelesaian pencegahan jangka pendek akan diperkukuhkan iaitu pemantauan kepada prosedur sedia ada terhadap HDA.