SEBERANG PERAI: Beberapa kawasan di Bukit Mertajam mengalami banjir kilat selepas hujan lebat melanda Pulau Pinang sejak jam 5 petang Jumaat.

Lokasi yang dinaiki air adalah Taman Tenang Berapit, Taman Seri Janggus Machang Bubok, Desa Damai, Kampung Baru Alma, Taman Impian, Taman Sukun dan Taman Mangga.

Selain itu, Taman Sentul, Kampung Dock, Taman Macang Bubok, Taman Pinggiran Alma, Taman Sejahtera, Taman Selamat dan Taman Kota Permai turut dinaiki air.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, Taman Permai Jaya, Taman Pekaka, Taman Pinang, Jalan Tembikai, Taman Mutiara, Taman Jasa Intan, Taman Saujana Indah dan Taman Jaya juga dilaporkan mengalami banjir kilat.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.

"Sehingga jam 7.15 malam tadi (Jumaat), semua lokasi tersebut masih mengalami banjir kilat. Dilaporkan hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam yang mana, ia dikategorikan sebagai sangat lebat.

"Sementara itu, di Machang Bubok, dilaporkan hujan lebat iaitu 102mm/jam dan sehingga 5.30 petang tadi, hujan masih lebat dengan bacaan 74mm/jam," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak berkuasa masih memantau keadaan banjir dan sekiranya hujan masih lebat sehingga jam 9 malam, tindakan susulan akan diambil.

Tambah beliau, sehingga kini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sudah menerima 11 aduan pokok tumbang.

"Pekerja MBPP sedang giat menjalankan pemotongan pokok tumbang yang menghalang jalan raya," katanya. - Sinar Harian