BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 24 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti berikutan banjir di kawasan Kubang Semang malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata PPS itu dibuka pada 8.30 malam, dengan kesemua mangsa dipindahkan ke situ oleh pihak polis.
Beliau memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti digerakkan ke Masjid Kubang Semang bagi melakukan pemantauan sejurus menerima panggilan pada 9 malam.
“Banjir itu berpunca daripada hujan lebat menyebabkan air memasuki lapan rumah… paras air di rumah yang terjejas dianggarkan setinggi paras lutut namun tiada mangsa dilaporkan terperangkap dan tiada operasi menyelamat dijalankan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
John berkata keadaan di lokasi adalah terkawal dan paras air beransur surut namun pemantauan masih diteruskan.
Sementara itu, berdasarkan kemas kini di laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 11.17 malam mendapati jumlah mangsa di PPS berkenaan ialah 27 orang daripada sembilan keluarga, yang terdiri daripada 17 dewasa serta 10 kanak-kanak dan daripada jumlah itu, masing-masing empat individu adalah warga emas dan Orang Kurang Upaya.
-- BERNAMA