Sejumlah 286 individu telah ditahan oleh pihak polis pada Ahad atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 44 individu direman manakala 242 lagi dikompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 34 kesalahan kerana gagal menyediakan peralatan/ catitan keluar masuk, empat premis beroperasi lebih masa, 35 kesalahan tidak memakai pelitup muka serta 213 kesalahan melibatkan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut memaklumkan, sejumlah 53 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng telah dilaksanakan oleh polis di seluruh negara.

Menerusi operasi itu, 19,355 kenderaan telah diperiksa bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan.