Sebanyak 244 kawasan membabitkan 402,333 rumah di Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual serta tekanan air rendah ekoran kerosakan pam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pagi tadi.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata berikutan itu, pihaknya terpaksa mengurangkan pengeluaran air terawat kepada 432 Juta Liter Sehari (JLH) berbanding 460 JLH sebelum ini.

"Pada masa ini, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd selaku operator LRA Sungai Langat menjangkakan tempoh pembaikan pam pada Isnin ini siap sepenuhnya pada Selasa," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Connaught; Desa Tun Razak; Jalan Syed Putra; Jalan Chan Sow Lin; Wisma Putra; kawasan perindustrian Balakong; Taman Sungai Besi Indah (1,2,3); Bandar Tun Hussein Onn; Jalan Langat Batu 14 hingga Batu 17 dan Jalan Kuari Sungai Long.

Bagi mengurangkan kesulitan, Priscilla berkata Syabas akan menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki kepada pengguna di kawasan terjejas.

Bagaimanapun, katanya keutamaan bantuan air akan diberikan untuk tujuan kecemasan seperti kematian dan majlis perkahwinan selain hospital, pusat dialisis serta rumah kebajikan.

"Pihak kami akan terus memaklumkan status terkini dari masa ke semasa mengikut keperluan," katanya.