JEMPOL: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol telah mengenal pasti 25 lokaliti yang mempunyai kes positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari bermula dari 7 Mei hingga Khamis dengan jumlah kes sebanyak 94 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, bilangan kes yang tinggi ini menjadikan daerah itu berada di zon merah.

"Lokaliti Felda Raja Alias 4 mencatatkan bilangan kes yang tertinggi iaitu sebanyak 15 kes, diikuti dengan Felda Lui Selatan 2 iaitu sebanyak 13 kes, Felda Palong 5 dan Taman Satelite masing-masing 10 kes.

"Peningkatan kes yang begitu ketara ini membimbangkan pihak jawatankuasa dan susulan itu kita mengharapkan agar orang ramai lebih berhati-hati terutamanya di kawasan lokaliti yang dinyatakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Syarul Nizam berkata, selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan melakukan pergerakan kendiri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Terus kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar dan yang paling penting sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer.

"Sekiranya bergejala amalkan kuarantin diri di rumah dengan penuh tanggungjawab sekiranya telah mengenal pasti di aplikasi My Sejahtera sebagai kontak kasual, 'person under surveillance' (PUS), kes suspek, atau 'comfirm case'," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi mereka yang telah menjalani ujian saringan COVID-19, diminta menunggu sehingga mendapat keputusan ujian terlebih dahulu.

"Sekiranya telah dikesan positif COVID-19 dan sedang menunggu panggilan PKD, sila kekal di rumah melainkan jika memerlukan rawatan perubatan kecemasan.

"Semua individu merupakan barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita," tegasnya.

Di Jempol terdapat lima mukim iaitu mukim Serting Ilir terdapat 38 kes aktif positif COVID-19; Rompin (18) Jelai (13) Kuala Jempol (20) dan lima kes aktif di Serting Ulu menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif sebanyak 94 kes.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.