Kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan pemberian sebanyak 25 meter padu atau 25,000 liter air bersih percuma kepada golongan sasar yang akan bermula Ogos depan.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pemberian air percuma itu akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 keluarga di seluruh negeri Perak.

"Saya jelaskan sekali lagi bahawa pemberian air percuma ini adalah untuk golongan sasar iaitu kepada keluarga yang memerlukan.

"Kalau sebelum ini hanya untuk 20 meter padu air dan pentadbiran sekarang ini telah menambahkan sehingga 25 meter padu air kepada semua golongan sasar dan juga jumlah keluarga yang bakal menerima manfaat ini lebih daripada 30,000 keluarga di seluruh negeri Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata diskaun sebanyak 10 peratus bil air turut diberikan kepada semua pengguna domestik di Perak sebagai menghargai sokongan rakyat serta sebagai langkah untuk mengurangkan beban kos sara hidup.

"Penambahbaikan skim air percuma dan pemberian diskaun ini akan bermula pada bulan depan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan telah melaksanakan kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang (KUP) bagi membolehkan pegawai untuk kekal di jawatan asal dengan diberikan gaji serta emolumen di gred kenaikan pangkat.

Namun begitu, beliau berkata terdapat isu-isu perkhidmatan yang timbul akibat daripada kenaikan pangkat secara KUP.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah meluluskan untuk mewujudkan Elaun Tanggungjawab Khas (ETK) kepada penjawat-penjawat awam negeri yang berkelayakan.

"Pembayaran ETK ini akan dibuat secara bulanan mengikut beban tugas dengan nilai sebanyak RM125 hingga RM150," katanya.

-- BERNAMA