MALAYSIA

25 NGO berhimpun secara aman di Cherok Tok Kun, sokong kepimpinan Anwar

Bernama 11/07/2025 | 23:00 MYT
Perhimpunan yang diadakan berdekatan kediaman keluarga Anwar itu membabitkan kira-kira 150 orang daripada kumpulan penyokong pentadbiran Anwar. - Gambar Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman berhampiran kediaman keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cherok Tok Kun, di sini, pada Jumaat, sebagai tanda solidariti terhadap kepimpinan beliau.

Perhimpunan selama lebih sejam itu turut disertai pemimpin politik termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol dan ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Pengerusi Sekretariat Bara Juang, Khairul Ishak yang mengetuai perhimpunan tersebut berkata, ia diadakan bukan atas tiket politik, sebaliknya sebagai usaha NGO mempertahankan Perdana Menteri daripada sebarang gangguan.

"Hari ini kita berhimpun sebagai rakyat yang mahu mempertahankan Perdana Menteri dan menolak cubaan mana-mana pihak untuk mengganggu kediaman keluarganya," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu.

Peserta perhimpunan turut membawa gegantung bertulis 'Hidup Anwar', 'Hidup PMX' dan 'Tolak Walaun', selain melaungkan slogan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun itu.

Sepanjang perhimpunan itu, lebih 50 pegawai bersama anggota polis mengawal lokasi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sepanjang perhimpunan itu, lebih 50 pegawai dan anggota polis berkawal di lokasi bagi memastikan keadaan terkawal dan mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi Bernama berkata, perhimpunan tersebut berlangsung secara aman dan pihak penganjur mematuhi arahan serta saranan yang ditetapkan.

Beliau berkata, permit perhimpunan tidak lagi diperlukan, namun penganjur digalakkan mengemukakan notis sekurang-kurangnya lima hari kepada Ketua Polis Daerah bagi lokasi perhimpunan.

"Pemberian notis ini bertujuan membolehkan pihak polis membuat persiapan sewajarnya untuk memastikan kelancaran serta keselamatan awam dan lalu lintas sepanjang tempoh perhimpunan.

"Ia juga membuka ruang perbincangan antara penganjur dan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang gangguan. Justeru, orang ramai dan penganjur perhimpunan diingatkan memahami hak dan tanggungjawab mereka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012)," katanya.

-- BERNAMA



#25 NGO #sokong Anwar Ibrahim #sokong kepimpinan PM #Cherok Tok Kun