Sebanyak 25 pencawang elektrik (PE) di Pahang terpaksa dihentikan operasi buat sementara selepas air banjir melimpah ke kawasan berkenaan sedalam satu hingga tiga meter.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Datuk Ir Sharuddin Mohd Simin berkata tindakan memutuskan bekalan elektrik di pencawang terbabit dilakukan secara berperingkat mulai Rabu lepas.

"Kesemua 25 pencawang elektrik yang dihentikan pengoperasian janakuasa elektrik itu hanya melibatkan dua daerah iaitu Jerantut sebanyak tujuh pencawang dan Lipis 18 pencawang.

"Pemotongan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini disebabkan banjir," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pemotongan bekalan di pencawang elektrik terbabit melibatkan bekalan tenaga kepada 2,253 akaun pengguna bagi daerah Lipis, manakala di Jerantut membabitkan 799 pengguna.

Namun, Sharuddin berkata TNB telah membekalkan beberapa alat janakuasa elektrik bagi dua daerah berkenaan untuk menyalurkan bekalan elektrik.

Tujuh pencawang elektrik yang terlibat dengan pemotongan sementara di Jerantut ialah Pencawang Atas Talian (PAT) Garok, PE Hilir Hilir, PE Hilir Hilir 2, PE SMA Pulau Tawar, PE Bukit Nikmat, PE Kampung Kelola dan PE Simpang Padang Piol.

Di Lipis, 18 PE terlibat ialah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kerambit, Tanjung Buloh, Gading, Mela, Loji Air Mela, LKNP Mela, Redan, Samak Jani, Limau Purut, Kuala Kenong, Kampung Pasu, Link Kerambit, Simpang Relai, Kampung Putu, Kampung Relai, Kuala Kechau, Jeram Landak dan PAT Kampung Telang.

Sharuddin turut memaklumkan terdapat 10 pencawang elektrik di Temerloh yang berisiko terlibat dengan pemotongan operasi sekiranya berlaku peningkatan air banjir.

Katanya 10 PE berkenaan ialah Kamung Teluk Ira, SMA Al Wosto, Kampung Bintang, Kampung Sanggang, Kampung Baduk, SMK Teluk Sentang, Kampung Teluk Sentang, Macang Manis, Kampung Kerai dan Paya Sendayan.

-- BERNAMA