KLANG: Bagi rakyat Selangor 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bukan sekadar perjalanan kepimpinan negeri, malah turut mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan rakyat, kepentingan agama Islam serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Pandangan itu dikongsi rakyat yang menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini, hari ini, yang menyifatkan keprihatinan baginda terhadap isu rakyat sebagai antara asas penting dalam mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan.
Ketua Kampung Bagan Nira Mohamad Sedek Idrus berkata ketegasan Sultan Sharafuddin dalam menangani isu berkaitan negeri, khususnya yang melibatkan agama Islam, mencerminkan komitmen baginda dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah.
Anak jati Sabak Bernam itu berkata meskipun baginda sentiasa mengambil berat tentang kepentingan agama Islam, Sultan Sharafuddin tidak pernah mengetepikan hak kaum lain, sebaliknya turut menekankan kepentingan perpaduan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
“Saya mewakili penduduk di kampung ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana Tuanku antara sultan yang prihatin pada rakyat, khususnya untuk rakyat Selangor dalam memastikan rakyatnya dapat menikmati kekayaan negeri,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis berkenaan.
Sementara itu, pelajar universiti swasta, Nur Aresha Zaraa Sallehudin, 21, menyifatkan institusi diraja sebagai identiti penting negara yang perlu dihormati dan dihayati oleh masyarakat.
Beliau berkata institusi diraja boleh diibaratkan sebagai akar yang mengikat kesatuan masyarakat di bawah satu kepimpinan, sekali gus memperkukuh perpaduan dan membawa manfaat kepada negara.
“Ibarat peribahasa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Maka dengan adanya akar, iaitu institusi diraja, ia dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan seterusnya memberikan manfaat lain seperti kemajuan ekonomi kepada negara,” katanya.
Nur Aresha turut mendoakan agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta dimurahkan rezeki untuk terus memerintah negeri dengan amanah dan cekap.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke majlis berkenaan bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Majlis itu dihadiri lebih 3,000 rakyat dari Klang, Petaling, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz. Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat itu merupakan siri pertama daripada lima siri yang disusun dalam program bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.
Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin dan kerabat diraja disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Dalam sembah ucapannya, Ahmad Fadzli berkata kepimpinan Sultan Sharafuddin turut terserlah menerusi keprihatinan baginda dalam meneliti keluh-kesah rakyat pada peringkat akar umbi, dan bukan hanya melalui perbincangan di bilik mesyuarat atau titah di istana.
Beliau berkata setiap titah, pedoman dan teguran baginda, sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat dewan diraja mahupun di mimbar masjid, dijadikan panduan dalam merangka dasar kerajaan negeri.
“Apabila Tuanku bertitah mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang telus, kerajaan negeri terus mengetatkan tatakelola perolehan. Apabila Tuanku bertitah mengenai kelestarian alam sekitar, kerajaan negeri menyemak semula dasar perhutanan dan tebatan banjir.
“Apabila Tuanku dengan tegas mengingatkan tentang bahaya rasuah dan penyelewengan, ia menjadi tanggungjawab mutlak patik selaku Setiausaha Kerajaan Negeri, dan seluruh ketua jabatan, untuk memastikan tiada sebarang ketirisan wang rakyat berlaku di bumi Selangor ini,” katanya.
Ahmad Fadzli berkata komitmen menjunjung segala titah dan nasihat Sultan Selangor merupakan manifestasi taat setia jentera pentadbiran negeri terhadap institusi diraja.
“Patik berpegang teguh pada prinsip bahawa pentadbiran yang cemerlang bukan sekadar pandai merancang, tetapi pandai melaksanakan perancangan tersebut secara telus demi kesejahteraan rakyat yang bernaung di bawah duli Tuanku,” katanya.
-- BERNAMA