MALAYSIA

2,500 penempatan baharu untuk TVET di China tahun depan - Ahmad Zahid

Nazri Kahar 07/11/2025 | 06:45 MYT
Ahmad Zahid berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET yang menjalani latihan di China amat baik dan mencapai 100 peratus. - Foto DPMO
SHANGHAI: Malaysia memperoleh 2,500 penempatan baharu bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pada tahun lepas sebanyak 5,125 tempat telah ditawarkan kepada belia Malaysia untuk menjalani latihan TVET di institusi dan industri terkemuka China.

“Penambahan ini dibuat setelah kejayaan dalam program terdahulu. Kursus-kursus ini mengambil masa jangka pendek antara satu hingga enam bulan.

“Pada tahun lepas, pada awalnya kita mendapat tawaran 2,500 tempat, namun ia meningkat kepada 5,125, dan untuk tahun ini kita juga menjangkakan akan ada penambahan sehingga 5,000 tempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 2nd Malaysia–China International Industry–TVET Education Cooperation Forum dan 4th Malaysia–China Vocational Education Fair di Shanghai Technical Institute of Electronics & Information pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET yang menjalani latihan di China amat baik dan mencapai 100 peratus.

Katanya, syarikat China yang melabur di Malaysia telah komited untuk mengambil bekerja pelajar Malaysia yang mendapat latihan di China, selain data menunjukkan sebanyak 54.7 peratus pelajar lepasan sekolah menunjukkan minat mendalam untuk memasuki bidang TVET.

Beliau berkata langkah itu juga sekali gus dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

“Saya fikir dalam tempoh paling lewat 15 tahun, insya-Allah kebergantungan (kepada pekerja asing) ini dapat kita minimalkan,” katanya.

Ahmad Zahid ketika merasmikan forum dan pameran berkenaan turut merasmikan Guangqi Institute sebagai hab latihan bersama yang menumpukan kepada bidang semikonduktor dan elektronik lanjutan.

Beliau berkata melalui institut tersebut, seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan pekerja industri akan menjalani latihan bernilai RM10 juta selama antara satu hingga enam bulan.







#Ahmad Zahid Hamidi #TVET #China #tenaga mahir