27 tan beras tumpah 'tarik' perhatian penduduk Tanjong Karang

Bernama
Julai 27, 2017 08:38 MYT
Tumpahan beras kira-kira 27 tan yang dibawa oleh sebuah treler dalam satu kejadian di Jalan Tali Air 3, Tanjong Karang, dekat sini malam tadi, 'menarik' perhatian penduduk setempat yang berpusu-pusu mengutipnya.
Tumpahan beras kira-kira 27 tan yang dibawa oleh sebuah treler dalam satu kejadian di Jalan Tali Air 3, Tanjong Karang, dekat sini malam tadi, 'menarik' perhatian penduduk setempat yang berpusu-pusu mengutipnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang Azmi Abbas berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tumpahan beras itu pada 10.55 malam dan tiba lima minit kemudian.
Katanya, treler yang membawa muatan 40 tan beras dari arah Sitiawan, Perak menuju ke Senai, Johor itu bagaimanapun tidak terlibat dalam sebarang kemalangan.
Insiden berkenaan berkemungkinan berlaku disebabkan keadaan permukaan laluan yang tidak rata, berikutan kerja menambah baik jalan raya itu sedang dilakukan.
"Ketika jentera tiba, ramai penduduk setempat sedang berusaha membersihkan jalan raya itu menggunakan penyedok, namun tumpahan beras itu terlalu banyak.
"Bomba mengambil masa kira-kira satu jam membersihkan jalan tersebut dengan cara menyembur air untuk mempercepatkan proses," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Kejadian tumpahan beras di jalan raya dua lorong itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir tiga kilometer, apabila hanya satu lorong yang boleh digunakan sehingga kerja pembersihan tamat.
-- BERNAMA
#Azmi Abbas #beras #tumpah