MALAYSIA

270 kenderaan mewah disita tak bayar cukai jalan

Sinar Harian 16/08/2025 | 03:15 MYT
Aedy Fadly melihat salah satu kereta mewah yang disita JPJ dalam Ops Luxury. - Gambar/ Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Sebanyak 270 kenderaan mewah disaman dan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dalam Ops Luxury atas kesalahan tidak memiliki cukai jalan (LKM) dan insurans kenderaan yang sah.


Ringkasan AI
  • JPJ menyita dan menyaman 270 kenderaan mewah di seluruh negara dalam Ops Luxury kerana tiada cukai jalan dan insurans sah, termasuk Ferrari, Lamborghini dan Rolls Royce.
  • Pemilik kenderaan termasuk selebriti, ahli perniagaan dan warga asing, dengan alasan lazim seperti terlupa memperbaharui cukai jalan, walaupun ada yang sengaja tidak membayar walaupun mampu.
  • Ops Luxury akan diteruskan di seluruh negara bagi memastikan semua kenderaan mematuhi undang-undang demi keselamatan pengguna jalan raya.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi yang dijalankan di seluruh negara itu secara keluruhannya memberikan tumpuan kenderaan mewah yang digunakan di jalan raya tanpa mematuhi syarat perundangan ditetapkan.

“Ops Luxury ini diadakan di seluruh negara bagi menahan dan mengambil tindakan kepada semua kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan serta insurans.

“Dalam operasi ini, kita ada menahan kereta mewah seperti Ferrari, Lamborghini atau Rolls Royce yang kita dapati tiada cukai jalan dan insurans.

“Kita akan keluarkan saman kompaun kepada pemilik dan mereka perlu membayar saman, memperbaharui cukai jalan termasuk insurans sebelum kenderaan mereka dilepaskan; jika tidak kenderaan itu akan terus ditahan di premis JPJ,” katanya.

Aedy Fadly berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat JPJ Johor, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kanan (Penguatkuasa) JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan.

Tambah Aedy Fadly, dalam Ops Luxury di Johor, JPJ menahan sebanyak 11 kenderaan mewah, termasuk sebuah Lamborghini Hurricane dengan cukai jalan bernilai RM12,000 setahun.

Malah katanya, dalam operasi sama di Kuala Lumpur, JPJ turut menyita Rolls Royce yang cukai jalannya bernilai RM29,000 setahun.

“Pemilik kesemua kenderaan yang disita kali ini turut melibatkan golongan selebriti, ahli perniagaan selain warga asing.

“Kami dapati alasan yang paling banyak diberikan adalah ‘terlupa’ memperbaharui cukai jalan, namun ada juga yang sengaja tidak membayar walaupun mampu.

“Ada kenderaan yang dikesan tidak memperbaharui cukai jalan lebih setahun, malah di Kuala Lumpur ada kes sehingga tiga tahun,” ujarnya.

Sementara itu Aedy Fadly menegaskan, Ops Luxury akan diteruskan di seluruh negara termasuk Perlis, Sabah dan Sarawak.

“Ops ini akan diteurskan lagi dalam usaha memastikan kesemua kenderaan memiliki insurans dan cukai jalan yang sah.

“Kami tidak memerangi kenderaan mewah, tetapi penguatkuasaan ini penting demi keselamatan pengguna jalan raya kerana jika berlaku kemalangan membabitkan kenderaan tanpa insurans, ia akan menyusahkan pemilik dan pihak ketiga,” tegasnya. - Sinar Harian




#Kenderaan Mewah #cukai jalan #kereta mewah #JPJ