KUALA LUMPUR:Polis menahan seramai 277 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 24 jam yang lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 276 individu telah dikenakan kompaun manakala seorang lagi direman.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka, dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

BACA: COVID-19: Apa pengumuman PM Isnin ini?

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, pihak berkuasa turut menahan seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) selain turut merampas sembilan buah kenderaan darat menerusi Op Benteng.

“Kerajaan akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk membina Pos Terapung bagi memperketatkan lagi kawalan PATI melibatkan kawasan di Pulau Ketam, Selangor.

“Ini memandangkan berlaku peningkatan kemasukan dan tangkapan PATI yang ketara dari tahun 2019 dan 2020.

“Pada 2019 seramai 328 PATI telah ditangkap di Pulau Ketam dan sebanyak 21 rampasan dibuat dengan nilaian RM2,344,573,” katanya lagi.

Mengenai pelaksanaan kuarantin wajib, seramai 100,319 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa bagi tempoh 24 Julai sehingga 7 Januari dan telah ditempatkan di pusat kuarantin.

Daripada jumlah itu, seramai 7,735 individu sedang menjalani kuarantin wajib manakala 540 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan dan 92,044 individu dibenarkan pulang ke rumah.