MELAKA: Sebanyak 277 kemalangan di tempat kerja yang menyebabkan hilang upaya kekal dan sementara dalam pelbagai sektor pekerjaan direkodkan di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka, Ramesh Zakir Shamsul berkata, dalam tempoh itu, sebanyak tiga kes maut melibatkan dua bagi sektor pembinaan dan satu sektor pengilangan juga direkodkan.
“Setakat ini, kes kemalangan di tempat kerja di negeri ini agak terkawal namun JKKP sentiasa memantau pengoperasian industri atau syarikat bagi memastikan pematuhan prosedur aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang ditetapkan.
“Majikan bertanggungjawab melaporkan setiap kemalangan di tempat kerja dan siasatan terperinci akan dijalankan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2026, di sini, pada Sabtu.
Majlis dirasmikan Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan turut hadir Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP, Ahmad Jailani Mansor.
Ramesh Zakir berkata, JKKP Melaka komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk majikan dan pihak berkuasa tempatan di negeri itu bagi penganjuran pelbagai program seperti bengkel serta ceramah berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Usaha meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan hanya terletak pada JKKP tetapi pihak majikan turut memainkan peranan penting,” katanya.
-- BERNAMA