Skip to main content
Advertisement

Malaysia

29 kawasan catat IPU tidak sihat setakat 10 pagi

PUTRAJAYA, 18 Sept - Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Putrajaya telah mencatatkan tahap tidak sihat iaitu 174 pada jam 12 tengah hari tadi. Berikutan itu, penganjur acara POWERMAN Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 20 September ini terpaksa membatalkan kategori POWERKIDS. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sebanyak 29 kawasan merekodkan IPU tidak sihat pagi ini, dengan Johan Setia mencatat bacaan tertinggi 175. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), kawasan merekodkan IPU tahap tidak sihat di Selangor ialah Johan Setia dengan bacaan 175, Cheras (172), Shah Alam (170), 166, Klang (163), Petaling Jaya (161), Banting (159) dan Kuala Selangor (152), Kuala Lumpur dan Batu Muda masing-masing 166.

Di Negeri Sembilan, kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Nilai (170), Seremban (161) dan Port Dickson (153), manakala enam kawasan di Johor melibatkan Pasir Gudang (168), Larkin (165), Kota Tinggi (159), Pengerang (153), Batu Pahat (152) dan Kluang (121).

Turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah Indera Mahkota dan Balok Baru, Kuantan masing-masing dengan bacaan 162, diikuti Rompin (133) dan Jerantut (122) di Pahang.

Di Terengganu, kawasan yang terlibat ialah Kuala Terengganu (157), Kemaman (152) dan Paka (151), manakala di Melaka melibatkan Bandaraya Melaka (155) dan Bukit Rambai (153).

Selain itu, Seri Manjung dan Tanjung Malim di Perak masing-masing mencatatkan bacaan 151, manakala Putrajaya merekodkan bacaan 163.

Sementara itu, sebanyak 36 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana dan tiga kawasan berada pada tahap baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement