[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

292 veteran ATM terima ganjaran hilang upaya

Bernama 27/03/2025 | 12:33 MYT
Semaon (kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada veteran ATM, Nazri Yaakob (kanan) pada Majlis Sumbangan GHU, hari ini. - Gambar Bernama
KUANTAN: Pengorbanan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan negara terus dihargai melalui inisiatif Ganjaran Hilang Upaya (GHU) yang disalurkan kepada 292 penerima dengan peruntukan berjumlah RM9.7 juta.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata setakat ini, seramai 273 veteran, termasuk 14 dari Pahang yang mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi telah menerima GHU.
"Mereka menerima GHU secara sekali bayar dengan jumlah yang berbeza-beza bergantung pada tahap kecederaan ketika dalam perkhidmatan, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan GHU di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Program Sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak veteran juga diadakan bagi meraikan golongan orang kurang upaya (OKU), asnaf dan daif.
Beliau berkata program tersebut dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula 24 hingga 28 Mac dengan kerjasama Yayasan Veteran ATM, di mana sebanyak RM53,770 telah diagihkan kepada 350 penerima.
"Agihan ini adalah melalui hasil zakat wakalah dan sumbangan daripada individu serta syarikat korporat yang prihatin terhadap pengorbanan veteran kepada negara," katanya.
Sementara itu, veteran ATM, Koperal (B) Mohd Ismuil Shahidon, 71, meluahkan rasa syukur dan gembira dengan GHU berjumlah RM30,000 yang diberikan kerajaan atas pengorbanannya mempertahankan tanah air dalam Ops Gubir di Kedah pada tahun 1976.
Beliau, yang pernah 'bermandikan' peluru dalam peristiwa berdarah tersebut, berterima kasih atas ingatan yang diberikan dan sama sekali tidak menjangkakan akan menerima bantuan kewangan sebanyak itu.
"Saya bertugas sebagai peninjau dan berada di barisan hadapan bersama rakan-rakan sebelum kami dihujani butiran peluru oleh musuh. Kejadian tersebut menyebabkan saya cedera di pelbagai bahagian badan, termasuk dada dan kaki.
"Boleh dikatakan lebih daripada 10 butir peluru terkena saya. Alhamdulillah, saya masih panjang umur, walaupun kaki saya tidak lagi kuat akibat tembakan itu," katanya sambil menambah bahawa wang berkenaan akan digunakan untuk perbelanjaan kesihatannya.
-- BERNAMA
#bantuan kewangan #ATM #OKU #zakat wakalah