Seramai 293 individu ditahan semalam (20 September) kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 24 ditahan reman, manakala 269 lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (24), tidak menjaga penjarakan fizikal (85) dan melakukan aktiviti dalam pub atau kelab malam (124)," jelasnya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, pihak berkuasa berjaya menahan 75 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong dan seorang penyeludup menerusi Op Benteng.

Ujarnya, setakat 20 September, seramai 8,342 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Katanya lagi, Op Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,025 operasi sanitasi merangkumi 135 zon.

"Sebanyak 13,023 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,712 pusat perniagaan, 1,600 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,618 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,739 bangunan kerajaan.

Pada 20 September, sebanyak sembilan operasi sanitasi meliputi satu zon Kuning dan enam zon Hijau yang melibatkan lima buah negeri antaranya Pulau Pinang (4 operasi), Sabah (2 operasi), Sarawak (1 operasi), Perlis (1 operasi), dan Melaka (1 operasi).

"Operasi sanitasi ini melibatkan 19 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta 96 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dua jentera JBPM turut terlibat dalam operasi sanitasi," katanya.

Sementara itu, pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,607 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,594 premis mematuhi prosedur operasi standart (SOP) yang telah ditetapkan manakala 13 premis diberi amaran kerana tidak mematuhi SOP.