SERDANG: Sebanyak 25,770 kes kesan sampingan di laporkan sehingga 31 Mac lepas iaitu 3.5 peratus daripada jumlah yang telah divaksin dengan majoriti iaitu 99.5 peratus daripadanya kesan ringan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan selebihnya memerlukan pemerhatian lanjut di wad, namun kebanyakan mereka sudah sihat.

"Kesan adverse yang dipantau sejak dari permulaan pemberian vaksin COVID-19 adalah meliputi kesan ringan dan kesan serius selepas menerima vaksinasi.

"Antara kesan-kesan ringan yang dialami penerima vaksin adalah sakit di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, muntah, loya , sakit di sendi dan sengal-sengal di badan, sementara bagi kesan lebih teruk seperti bengkak di sebahagian anggota badan seperti muka, sesak nafas dan tidak selesa di bahagian dada.

"Kesemua yang mengalami kesan serius telah dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan tiga buku terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai isu pandemik COVID-19 pada Jumaat.

BACA: 241,758 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 - Dr Adham

Seramai 241,758 individu di dalam negara yang merupakan kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Bagi tempoh sama, 498,468 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 740,226.