KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun didalangi kumpulan etnik Rohingya susulan insiden tiga penjenayah anggota Geng Rantau Fiesta ditembak mati di Selayang awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dua daripada mereka didapati memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Katanya, seorang lagi suspek tidak memiliki dokumen namun dikenal pasti aktif melakukan aktiviti jenayah sejak tahun 2011.

"Kumpulan ini disertai tiga hingga empat orang, pernah ditangkap dan salah seorang si mati mempunyai 12 rekod jenayah. Kebanyakan kes adalah samun dan dia pernah ditangkap dan dipenjarakan pada 2016 dan 2017 bagi kesalahan pecah rumah.

"Dan apabila dia keluar kumpulan ini telah aktif semula. Di selangor sahaja kita percaya kumpulan ini telah lakukan samun pecah rumah sebanyak 27 kes," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada Sabtu.

Polis berjaya tumpas kumpulan samun daripada etnik Rohigya

Tambah beliau, ketiga-tiga warga asing terbabit berusia dalam lingkungan 30 tahun.

Kumpulan itu juga dipercayai terbabit dalam kira-kira 20 kes samun dan pecah rumah di enam negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, dan Pulau Pinang menggunakan senjata api.

Geng Rantau Fiesta aktif samun dan pecah rumah di enam negeri

Sementara itu, mengenai kejadian awal pagi tadi, Hussein berkata, anggotanya melepaskan sekurang-kurangnya tujuh tembakan sebelum ketiga-tiga penjenayah itu meninggal dunia di lokasi.

"Mereka telah lepaskan tiga das tembakan ke arah polis, kita bernasib baik tidak terkena mana-mana badan polis tetapi kena pada kenderaan polis. Tembakan balas polis berjaya tumpaskan ketiga-tiga mereka," katanya.

Sementara itu, PDRM memaklumkan akan menggunakan khidmat Polis Antarabangsa (Interpol) dari segi pangkalan data dalam kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

"Kita ada minta bantuan daripada Interpol dalam database mereka sebab ada beberapa maklumat walaupun bukan konklusif tetapi yang boleh bantu siasatan kita pun ada sedikit maklumat mereka interpol boleh semak dalam database mereka," katanya.